Sunday, August 24, 2008

Hijau kuning bolot tujuh Anugerah Bola Sepak Kebangsaan

Oleh Muhamad Ashraf Tasrifin
ashpank_86@yahoo.com.my


PEMAIN Kedah menghampiri ribuan penyokong Hijau Kuning selepas berjaya menewaskan Selangor 3-2 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Kelab Penyokong Perak, Persatuan Bola Sepak NS turut menang

KEDAH mendominasi Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100PLUS - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 2008 semalam, apabila berjaya memenangi tujuh daripada 10 kategori yang dipertandingkan.

Berbeza dengan tahun lalu apabila bilangan undi buat calon ditentukan menerusi sistem pesanan ringkas, anugerah kali ini ditentukan menerusi undi peminat di laman web rasmi FAM, www.fam.org.my.

Penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias dinobatkan sebagai Penjaga Gol Popular dengan menewaskan dua calon lain - Sharbinee Allawee dari Terengganu dan Nasril Nourdin dari Perak.


Penjaga gol utama kebangsaan itu yang beraksi cemerlang ketika berdepan Chelsea bulan lalu, turut dinobat selaku Pemain Paling Bernilai selepas menerima undian paling tinggi keseluruhan dan menerima hadiah wang tunai RM2,000.

Kapten pasukan Kedah, Victor Andrag dipilih sebagai Pemain Pertahanan Popular manakala dua rakan sepasukan - Khyril Muhymeen Zambri dan Fadly Baharom masing-masing terpilih sebagai Pemain Tengah Popular dan Pemain Harapan Popular.

RIANG: Helmi Eliza Elias dipilih Penjaga Gol Popular.

Lebih manis buat Kedah, jurulatihnya Mohd Azraai Khor Abdullah turut dipilih sebagai Jurulatih Popular manakala penjaring terbanyak Liga Super, Marlon Alex James dipilih Pemain Import Popular.

Pemain Kuala Muda Naza, Liew Kit Kong muncul pemain tunggal bukan dari Kedah untuk memenangi anugerah semalam apabila dipilih sebagai Penyerang Popular selepas menewaskan dua calon lain, Zaquan Adha Abdul Radzak (Negeri Sembilan) dan Safee Sali (Selangor).

Bagi Azraai, pengiktirafan yang diterima pasukan dan pemainnya kali ini menyemarakkan lagi semangat mereka memburu kejayaan musim depan. Bekas pemain kebangsaan itu turut berasa bangga dengan pengiktirafan yang diterima Helmi.

"Pengiktirafan yang kami terima ini adalah pencetus semangat untuk memburu kejayaan musim depan. Dan saya berharap setiap pemain Kedah akan mengekalkan aksi terbaik yang sama di musim depan.

"Bagi saya Helmi memang berhak diberi pengiktirafan kerana usaha gigihnya, sebelum ini dia hanya pemain simpanan kepada Megat (Amir Faisal), tetapi selepas Megat berhijrah ke Selangor, dia mula membuktikan kemampuannya sehingga menjadi penjaga gol utama negara," kata Azraai.

Sementara itu, Kelab Penyokong Perak memenangi anugerah Kelab Penyokong Terbaik manakala Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan dipilih FAM sebagai Persatuan Bola Sepak Negeri Terbaik.

No comments: