
PRESTASI konsisten penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias dalam aksi Liga Malaysia 2007/2008 serta kecemerlangannya ketika berdepan kelab gergasi England, Chelsea baru-baru ini telah menarik perhatian peminat bola sepak
tempatan untuk memilihnya sebagai Pemain Paling Bernilai sempena Anugerah Bola Sepak Kebangsaan FAM-100PLUS 2007/2008.Peminat bola sepak tempatan telah membuat undian menerusi laman web FAM, www.fam.org.my untuk menentukan pemenang anugerah tersebut yang kebanyakannya dikuasai oleh Kedah yang memenangi Liga Super dan juga Piala FA baru-baru ini.
| |
| |
"Undian menerusi laman web terbukti lebih berkesan dan tahun ini kami telah memanggil beberapa nama daripada Persatuan Jurulatih Malaysia dan juga pihak media untuk menyenaraikan calon-calon bagi anugerah tersebut," kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad semalam.
"Pastinya dengan adanya anugerah ini, ia dapat membuka peluang kepada peminat bola sepak negara untuk sama-sama mengambil bahagian dalam kerancakan Liga Malaysia."
Pengurus perhubungan korporat F&N Coca-Cola (M) Sdn. Bhd., Datuk Kamal Harun pula memberitahu: "Pemain-pemain ini adalah bintang dalam liga bola sepak negara kita. Setiap minggu mereka beraksi dengan sepenuh hati dan memberi yang terbaik buat pasukan masing-masing demi memenuhi kepuasan peminat mereka.
"Sebab inilah kami 100PLUS bersama-sama FAM memilih untuk memberi pengiktirafan kepada mereka menerusi Anugerah Bola Sepak Kebangsaan," tambahnya lagi.
Victor Andrag, kapten dan pemain pertahanan Kedah dipilih sebagai Pemain Pertahanan Paling Popular sementara pemain kebangsaan, Khyril Muhymeen Zambri membawa pulang anugerah Pemain Perancang Paling Popular.
Bekas penyerang kebangsaan, Liew Kit Kong pula memenangi anugerah Penyerang Paling Popular untuk memecah dominasi Kedah yang turut mengaut Anugerah Pemain Harapan yang dimenangi Fazli Baharom.
Kedah melengkapkan malam gemilang mereka pada majlis itu dengan pemain import mereka, Marlon Alex James dipilih sebagai Pemain Import Paling Popular dan jurulatih, Mohd. Azrai Khor Abdullah menerima anugerah Jurulatih Paling Popular.
Manakala anugerah bagi Kelab Peminat Bola Sepak Terbaik pula menjadi milik Kelab Peminat Bola Sepak Perak sementara Persatuan Bola Sepak Terbaik pula dimenangi Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan.

No comments:
Post a Comment