Sunday, August 24, 2008

Kedah sukar digugat


PENYERANG Kedah, Badrol Bakhtiar (kiri) cuba melepasi halangan pertahanan Selangor, Amri Yahyah.


KENARI terbang tinggi, Red Giant tersungkur lagi.

Gelaran treble sekali lagi dimiliki Kedah.

Itulah yang berlaku di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi, gelanggang yang menjadi sejarah menyaksikan juara bertahan, Kedah menjulang Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut setelah menewaskan musuh tradisi, Selangor 3-2 pada perlawanan akhir.

Kedah yang dibimbing jurulatih Mohd. Azraai Khor Abdullah turut melakar sejarah baru dalam bola sepak negara apabila muncul satu-satunya pasukan yang berjaya mengekalkan kejuaraan treble buat musim kedua berturut-turut setelah melakukannya pada musim lepas.

Malam tadi, hajat Selangor untuk menebus kekalahan mereka dalam Piala FA awal bulan ini tidak kesampaian apabila mereka sekali lagi gagal menyekat kemaraan skuad Hijau Kuning itu yang meneruskan kehebatan mereka musim ini.

Bagi Azraai, kejayaan menjulang trofi paling berprestij itu menjadi bukti bahawa skuad mudanya ini memiliki kualiti tersendiri.

“Saya gembira dan bersyukur dengan kejayaan yang dilakar pada malam ini (malam tadi),” jelas Azraai selepas perlawanan akhir itu.

“Saya sangat terharu kerana komitmen yang ditunjukkan oleh para di atas padang telah dibayar dengan kejayaan menjulang Piala Malaysia ini.

“Pujian juga perlu diberikan kepada anak buah Dollah Salleh yang tidak berputus asa memberi tentangan biarpun ketinggalan 1-3 sebaik babak kedua bermula.

“Kami bermula dengan agak baik dan berjaya menguasai permainan pada 20 minit pertama,” kata Dollah.

“Tapi pemain mula selesa selepas mendahului 1-0 dan mereka semakin hilang fokus, kesilapan di benteng pertahanan pula menjadi punca Kedah bangkit menguasai permainan.”

Pada perlawanan yang disaksikan lebih 40,000 penonton di stadium itu, Selangor dilihat bermula dengan garang apabila penyerang import dari Liberia, Frank Seator memberi harapan buat peminat Red Giant itu dengan jaringan pembukaan pada minit ke-18.

Begitupun, tiga gol dalam masa 15 minit daripada Marlon Alex James (minit ke-31), Nelson Sam Martin (32) dan Mohd. Fadly Baharom berjaya mendiamkan seketika peminat Selangor pada babak pertama.

Jaringan penyerang kebangsaan, Safee Sali pada minit ke-77 memberi sedikit harapan buat peminat Red Giant, namun Kedah berjaya menghalang setiap gerakan Selangor sehingga tamat perlawanan.

No comments: