LANGIT cerah seolah-olah berubah warna malam tadi.
Tidak salah jika pencinta bola sepak ternampak jalur-jalur berwarna hijau kuning memayungi 37,000 penonton di Stadium Nasional di Bukit Jalil.
Apa tidaknya, Kedah melengkapkan musim gemilang dengan menjulang Piala Malaysia, trofi kebanggaan rakyat Malaysia dan masyarakat bola sepak tempatan.
Sang Kenari terbang tinggi, membunuh ego Gergasi Merah Kuning yang membuka tirai jaringan seawal minit ke-18 menerusi Frank Seator.
Sepakan percuma Indra Putra Mahayuddin menuju gawang dan penjaga gol Helmi Eliza Elias, yang beberapa jam terdahulu diisytihar Pemain Paling Popular dalam majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan, sekadar menampan bola ke kaki Seator yang menyambar peluang itu dengan senang hati.
Namun Kedah bukan calang-calang pasukan. Dengan Nelson San Martin menjadi kemudi tengah membekalkan peluang kepada Marlon James dan Khyril Muhymeen Zambri, hantaran dan pergerakan Hijau Kuning lebih kemas.
Menerusi satu umpanan tepat Nelson, Marlon meloloskan diri sebelum menyepak jaringan penyamaan dengan tenang pada minit ke-32.
Belum sempat Selangor bangkit bernafas semula, Kedah menghukum kealpaan benteng pertahan Merah Kuning seminit kemudian.
Percubaan Khyril Muhymeen Zambri ditampan Evans Chisulo dan bola yang berlegar sekitar luar petak penalti itu pantas disambar oleh Nelson yang melihat tendangannya mencecah jaring Suffian Abdul Rahman.
Lima minit kemudian gol Selangor bocor lagi. Tertekan, bek Selangor Razman Roslan tersilap umpan kepada Fadly Baharom, Pemain Muda Paling Popular 2008, yang terus menyepak tinggi menewaskan Suffian.
Dengan kedudukan 3-1 kepada Kedah pada separuh masa pertama, sudah tentu Selangor sukar untuk mengheret Kedah ke masa tambahan.
Bagaimanapun, Safee Sali memberi sekelumit harapan kepada penyokong setia Selangor apabila dia merapatkan kedudukan pada minit ke-78 menerusi percubaan cantik dari luar kotak penalti.
Kesudahannya, bagaimanapun, tidak berubah. Kedah mengekalkan kejuaraan, manakala Nelson dinobatkan selaku Pemain Terbaik Perlawanan.
Jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah, meraikan kemenangan itu dengan perasaan bercampur baur.
“Anak buah saya berjaya mencipta sejarah yang tidak mudah untuk diulangi. Kedah menjuarai tiga gelaran sekali gus buat dua musim berturut-turut, iaitu enam piala dalam masa dua tahun. Pada masa yang sama saya menujukan kemenangan ini kepada sifu saya, Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Mohd Akil yang meninggal dunia bulan lalu.
“Kemenangan ini juga cukup bermakna kerana ia hadir pada ulangtahun ke-50 pemerintahan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah,” kata Azraai yang dipilih Jurulatih Paling Popular.
Dollah Salleh yang muram akibat kekalahan itu menyifatkan barisan Kedah lebih pantas, lebih baik dan berhak muncul juara edisi ke-82 piala itu.
“Saya mengucapkan tahniah kepada rakan sejawatan saya, Azraai. Pencapaiannya agak luar biasa, kerana jarang kita dengar satu pasukan muncul juara berganda atau treble dua musim berturut-turut di tempat lain.
Nelson pula menganggap kemenangan itu berpunca daripada semangat setiakawan pemain Kedah yang diterapkan oleh Azraai.
“Secara peribadi, ini kemenangan yang cukup menyenangkan hati saya. Saya tujukan kejayaan ini kepada ibu. Saya kehilangan ibu tercinta akibat kanser awal tahun ini dan langsung tidak berpeluang menjenguknya di Santiago, Chile.”
No comments:
Post a Comment